Saturday, November 8, 2014

Bubur Asyura Surau As Syakirin Taman Tengku Maheran

Tarikh : 08 November 2014
Hari : Sabtu
Masa : 0900 Pagi
Lokasi : Surau As Syakirin, Taman Tengku Maheran,Jitra, Kedah

Macam ni cara nak kacau

Suka sunggoh depa ambik gambaq Bang Lah

Jom rasa..

Kacau jangan tak kacau...Ustaz Lan..


Dua kawah cukup

Mesyuarat dulu..sat gi baru kita buat



Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam program ini.

Nota : Photo-photo adalah sumbangan dari rakan-rakan surau As Syakirin..



Tuesday, October 14, 2014

Salam Maal Hijrah 1436

Di sini pihak Admin dan AJK Surau As Syakirin ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1436 H. Semoga dengan kehadiran tahun baru  ini dapatlah meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Disamping itu juga, diharapkan tahun baru yang akan datang ini akan mengeratkan lagi tali persaudaraan antara kita, khususnya anak kariah Surau As Syakirin Taman Tengku Maheran amnya.

Dilampirkan doa akhir tahun dan awal tahun sebagai panduan kepada kita semua..

Doa Akhir Tahun
Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
Dengan izin Allah, sesiapa yang membaca doa ini akan mendapat Perlindungan Allah SWT dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa yang lalu.

Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

 
Doa Awal Tahun
Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam 1 Muharram 1436 (Hari Sabtu malam Ahad).
Barangsiapa membaca doa ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba’diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun yang mendatang.

Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.











Sunday, October 5, 2014

Sambutan Majlis Hari Raya Korban 2014

Tarikh : 05 Oktober 2014
Lokasi : Surau As Syakirin Taman Tengku Maheran Jitra Kedah

Sebanyak 4 ekor lembu telah disembelih bagi Majlis Korban yang diadakan. Majlis ini dijayakan dengan sepenuhnya selepas sembahyang sunat Aidil Adha. Peserta-Peserta korban bersama penduduk-penduduk Taman Tengku Maheran telah sama-sama bergotong royong didalam program ini.

Jemaah Surau As Syakirin....

Hebat...Tuan Sheikh ni...

Tarik kaki..bagi rebah...

Lembu Korban yang pertama...

Acara tarik kaki oleh Hj Bahrin dan Zunaidi..

"Awat tinggai aku sorang ja yg dok lapah...hat lain semua nak pegang kaki"

Aksi Ustaz Masri dan Che Lah..

"Mai kita bedak daging...kita bagi 4 sahaja"

Hj Latif sedang dok belek daging...

Geng cuci perut...

"Bagi elok-elok ooooo"

Timbang jangan tak timbang...

Jamuan makan selepas solat Zohor..






Friday, October 3, 2014

Ibadat Haji Dan Melakukan Korban

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA DARI SEMUA AJK SURAU AS-SYAKIRIN, TAMAN TENGKU MAHERAN, JITRA, KEDAH.

Sedikit tazkirah berkenaan Ibadat Haji dan melakukan korban...

Pada hari ini telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan dua nikmat yang besar. Yang pertama sebahagian umat Islam pada ketika ini mendapat nikmat kerana menjadi Duyufurrahman atau tetamu Allah di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji. Manakala yang kedua, bagi kita yang tidak menunaikan ibadat haji, masih berpeluang menikmati dan menghayati syiar Aidiladha yang agung dan bermakna dalam suasana yang selesa, rukun damai, sejahtera dan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagaimana yang sama-sama kita ketahui bahawa pada hari ini umat Islam yang sedang mengerjakan ibadat haji di Mekah sedang sibuk melaksanakan manasik haji, sama ada sedang membuat lontaran jumrah aqabah di Mina, sedang melakukan tawaf dan sai atau ibadat-ibadat yang lainnya.

Manakala sebelum ini mereka telah melakukan wukuf di Padang Arafah yang merupakan rukun dan kemuncak bagi amalan haji dengan memakai pakaian ihram yang serba putih sebagai melambangkan kesatuan ummah dan ketulusan hati bagi sama-sama menyahut panggilan Ilahi, di samping mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala dengan laungan talbiah yang penuh semangat dan menusuk hati yang dilafazkan berulang-ulang kali sambil menitiskan air mata kegembiraan dan merasa bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menunaikan ibadat haji.

Jika kita imbas kembali sejarah, di Padang Arafah itulah Nabi Adam Alaihissalam dan Sayidatina Hawa dipertemukan semula setelah terpisah sekian lama akibat melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala kerana memakan buah larangan di syurga. Di Padang Arafah itulah juga zuriat atau keturunan Adam Alaihissalam dan Sayidatina Hawa datang dari seluruh pelusuk dunia berkumpul, berkenal-kenalan dan menjalin persaudaraan yang terdiri dari pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan pahala ganjaran yang besar bagi mereka yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna iaitu dengan melakukan semua rukun-rukun, wajib-wajib haji, sunat-sunat dan adab-adabnya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu : Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Haji yang mabrur itu tidak ada balasannya yang lain selain daripada syurga. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Di samping itu juga mereka yang menunaikan ibadat haji mendapat beberapa kelebihan yang lain, antaranya doa mereka diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan jika mereka memohon keampunan, nescaya Allah mengampuni dosa-dosa mereka. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bahawa Baginda telah bersabda : Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah itu adalah tetamu Allah. Jika mereka berdoa kepada-Nya, nescaya Allah akan memakbulkannya, jika mereka memohon keampunan kepada-Nya nescaya Allah akan mengampunkan mereka". (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Ibadat haji adalah kemuncak Rukun Islam yang lima. Kalau kita perhatikan, sebenarnya ibadat haji boleh mendidik umat Islam dari beberapa aspek, umpamanya para bakal jemaah haji perlu mempunyai persediaan yang cukup seperti perbelanjaan untuk diri sendiri semasa dalam menunaikan fardu haji dan orang-orang yang di bawah tanggungan yang akan ditinggalkannya yang mana perkara ini akan mendorong umat Islam untuk rajin berusaha mencari rezeki yang halal bagi kepentingan dunia dan akhirat.

Di samping itu, kesihatan tubuh badan juga sangat diperlukan untuk kita menunaikan ibadat haji dengan sempurna, ini akan menggalakkan umat Islam supaya berusaha menjaga kesihatan jasmani dan rohani.

Selain itu jemaah haji juga perlu memahami cara-cara pelaksanaan manasik haji dengan betul iaitu dengan mematuhi segala rukun-rukun, wajib-wajib haji, sunat-sunat dan adab-adabnya. Perkara ini akan menimbulkan kesedaran umat Islam untuk sentiasa menimba ilmu pengetahuan agar tidak merasa ragu-ragu dalam melaksanakan apa jua amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dan tidak hanya terikut-ikut atau meniru apa yang orang lain lakukan.

Jemaah haji juga hendaklah memastikan keselamatan dan kesejahteraan semasa di dalam perjalanan, sama ada dari segi keselamatan nyawa mahupun harta benda. Ini akan mendorong umat Islam agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam apa jua keadaan.

Sebagaimana yang kita maklumi, ibadat haji yang dilakukan di Tanah Suci Mekah, selain menyahut panggilan Ilahi, ia juga sebagai perhimpunan agung umat Islam sedunia, yang dihadiri oleh pelbagai bangsa. Ini memberi kesempatan bagi seluruh umat Islam untuk saling kenal-mengenal, mengeratkan hubungan silaturahim, bekerjasama, hormat-menghormati dan mengukuhkan perpaduan umat Islam seluruhnya.

Memperkatakan tentang ibadat korban pula, sebenarnya ibadat korban itu mendidik umat Islam supaya bersifat dermawan dan murah hati kerana semua nikmat yang ada pada hakikatnya adalah pinjaman dan amanah Allah Subhanahu Wata'ala, yang kelak pasti akan diambilnya satu persatu, maka segala nikmat yang ada pada diri kita hendaklah dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Oleh itu bagi mereka yang mampu, lakukanlah penyembelihan korban pada setiap tahun, yang dagingnya dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga serta rakan taulan yang beragama Islam. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya:

"Dari A'isyah Radiallahuanha bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada ada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala dari menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya dan bulu-bulunya dan kukunya dan bahawasanya darah korban itu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Kautsar, ayat 1-3 tafsirnya:


"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingini".

Program Gotong Royong Sebelum Majlis Hari Raya Korban

Tarikh : 03 Oktober 2014
Masa : 08.00 Pagi - 11.45 Pagi
Lokasi : Surau As Syakirin Taman Tengku Maheran Jitra Kedah

Satu program gotong royong telah diadakan bagi membuat persiapan dari segi tempat, kebersihan surau untuk menyambut Hari Raya Korban yang bakal menjelang.

Mat sedang memasang tapak untuk khemah...


Orang kuat surau....kuat makan...serba serbi kuat ni..hehehehe..

Hj. Latif sedang memasang khemah...

Penyokong tegar pasukan Kedah....


Ustaz Nadhri sedang membersihkan kipas

Acara vacum sedang dijalankan oleh Abg Daud kita...

Akhir sekali...acara makan...


Wednesday, September 24, 2014

Hari Ini Dalam Sejarah....Program Bicara Ilmu & Alunan Qasidah..

Ini adalah salah satu aktiviti yang pernah dianjurkan di surau As Syakirin iaitu Program Bicara Ilmu dan alunan qasidah oleh Ustaz Zainul Asri dari Darul Hadis.

Us Nadhri sedang memberi ucapan aluan...

Ramai tetamu yang datang

Us Mazlan sebagai Pengerusi Majlis..

Us Zainul Asri..ditengah..

Orang kuat surau...Bang Man kita...huhuhu..

Thursday, September 18, 2014

Garis Panduan Ibadah Korban

Dari Sumber - http://www.al-azim.com/haji/qurban/hukum.htm (Dibangunkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka)


PENGERTIAN & HUKUM IBADAH QURBAN


Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram. Daging qurban wajib (nazar) tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.




DALIL PENSYARIATAN & FADHILAT QURBAN

DALIL PENSYARIATAN

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 :

Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 :

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

Sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)
FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:

Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)

Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)

Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".



HIKMAH, KEPADA SIAPA IBADAH KORBAN DISUNATKAN DAN SYARAT SAH KORBAN

HIKMAH BERQURBAN

Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.

Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yan melimpah-ruah.

Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.
KEPADA SIAPA IBADAH QURBAN DISUNATKAN

Menurut Mazhab Syafie, ibadah disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji.

Manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah qurban.
SYARAT SAH QURBAN

Haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yan nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.

Ianya dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah qurban.

Ibadah qurban hendaklah disertakan dengan niat.



JENIS & UMUR HAIWAN QURBAN

JENIS HAIWAN YANG BOLEH DIJADIKAN QURBAN

Ulama' bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan qurban hanyalah binatang yang diketegorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina.
UMUR BINATANG QURBAN

Unta - berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun.

Lembu/kerbau/kambing - 2 tahun masuk ke 3 tahun.

Biri-biri/kibas - Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi 6 bulan.




KECACATAN YANG MENGHALANG SAHNYA QURBAN

Hendaklah ia sejahtera daripada sebarang kecacatan seperti tiada telinga atau terpotong ekor, gila, kudun, sangat kurus, buta dan sebagainya.

Ada 4 kecacatan utama yang telah disepakati oleh Ulama'yang menghalang sahnya qurban iaitu berdasarkan hadis riwayat Barra' bin Azib iaitu sabda Rasullah Sallahallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya : "4 jenis kecacatan yang tidak harus diperbuat qurban iaitu buta sebelah mata, berpenyakit, tempang dan terlalu kurus".

Daripada hadith di aras Ulama' telah mengqiaskan kepada kecacatan yang seumpamanya atau lebih teruk daripada kecacatan tersebut. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:

Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang terpotong ekornya.
Gila
Berkudis walaupun sedikit.
Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.
Tersangat kurus.
Buta sebelah mata atau kedua-duanya.
Berpenyakit
Tersangat tempang

Tetapi, jika telah bernazar untuk qurban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut, wajarlah dia melaksanakannya.

Haiwan yang tiada ekor, tiada gigi atau patah setengah giginya, tiada zakar, haiwan yang dikasi zakarnya boleh dijadikan binatang qurban.

Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya begitu juga haiwan yang terbelah atau bertebuk telinganya.



KEHARUSAN BERKONGSI HAIWAN QURBAN

Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.

Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor korban itu.

Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.

Berkorban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.

Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.

Yang utamanya binatang qurban itu adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang qurban yang berwarna merah bulunya.




WAKTU PELAKSANAAN & SIAPA YANG MENYEMBELIH

WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

Bermula daripada terbit matahari pada Hari Nahr (10 Zulhijjah)

Waktu yang afdhal melakukannya ialah ketika matahari telah naik sekadar 7 kaki dari ufuk.

Berkekalan waktu qurban ini sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
ORANG YANG MENYEMBELIH BINATANG QURBAN

Para ualama menganjurkan agar yang melakukan penyembelihan afalah orang yang berqurban itu sendiri, sekiranya dia pandai menyembelih. Tetapi mereka juga sependapat mengatakan harus mewakilkannya kepada orang lain. Afdhalnya wakil itu adalah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

Adalah afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir dan menyaksikan penyembelihan ke atas binatang qurban tersebut.

Makruh hukumnya mewakilkan qurban kepada kanak-kanak atau orang buta.



NIAT IBADAH QURBAN DAN PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

NIAT IBADAH QURBAN

Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.
Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.
Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.
HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN

Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.
Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.
PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.
Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :
Membaca Bismillahirrohmanirrahim
Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."
Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.



NIAT IBADAH QURBAN DAN PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

Qurban Wajib dan Qurban Nazar :

Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

Qurban Sunat :
Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).

Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.

Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.

Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.

Haram ke atas orang yang melaksanakan korban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Maksudnya:

"Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.





Wednesday, September 17, 2014

Kumpulan Marhaban Dan Berzanji Dari Surau As-Syakirin

Kumpulan Marhaban dan Berzanji yang didatangkan khas dari Surau As Syakirin..

Orang kuat marhaban...Man dan Pazli..

Segak bergaya...

Segak...segak....macam pengantin baru...

2 Tonggak utama....

Sunday, September 14, 2014

Adab Pergaulan Dengan Semua Lapisan Manusia


Jika kita inginkan pergaulan yang baik, maka hendaklah kita memelihara adab-adab berikut sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya, 'Bimbingan Mu'minin':

Berikan keredhaan kita kepada kawan dan musuh sama belaka. Tunjukkan kepada mereka sikap yang baik tanpa menyombong diri, dan rendahkanlah diri kita tanpa menghinakannya. Jadikanlah sikap kita sederhana pada semua perkara, sebab terlalu meninggi sangat ataupun merendah sangat, kedua-duanya adalah sifat yang tercela.

Jangan menoleh ke kanan atau ke kiri, ataupun terlalu banyak menoleh. Jangan berdiri di antar orang ramai. Jika duduk jangan menggelenyar (duduknya tidak tetap). Jangan selang-selikan jari-jari antara sati dengan yang lain. Jangan terlalu banyak mengurut janggut atau memain-mainkan cincin di jari.

Jangan mengorek gigi atau hidung, banyak berludah atau berhingus, atau selalu menggeliat dan menguap di hadapan muka orang ramai dan di waktu sedang bersembahyang atau sebagainya.

Apabila duduk biarlah duduk kita tenang saja, dan perbualan kita itu teratur.

Dengarkanlah perbualan-perbualan atau percakapan-percakapan yang baik daripada orang yang bercakap kepada kita, tanpa menunjukkan ketakjuban yang berlebih-lebihan, atau menyuruh orang itu mengulangi percakapannya. Kalau percakapannya itu mentertawakan, maka tahanlah ketawa kita sedapat mungkin.

Jangan suka memuji-muji anak buah sendiri, atau syair-syair yang kita cipta sendiri, atau kerya-karya yang kita hasilkan sindiri, ataupun segala sesuatu yang mengenai diri kita sendiri.

Jangan meniru cara-cara kaum wanita menperhiaskan dirinya, dan jangan bersikap rendah, seperti yang biasa dilakukan oleh para hamba sahaya.

Jangan menggesa orang untuk mendapatkan sesuatu keperluan, dan jangan mendorong orang supaya melakukan kezaliman atau penginyayaan terhadap sesama manusia.

Jangan memberitahu isteri atau anak-anak, apatah lagi orang lain, tentang jumlah wang simpanan kita. Sebab kalau mereka tahu simpanan itu sedikit, tentulah mereka akan menunjukkan sikap kurang senang. Tetapi kalau mereka tahu simpanan itu banyak, mereka sentiasa tidak puas dan tidak cukup dengan pemberian kita.

Jika kita berselisih faham, maka hendaklah kita bertenang, hindarkan sikap berkeras hati, dan jangan terlalu terburu nafsu. Malah hendaklah kita fikirkan hujah atau dalil yang boleh diterima oleh akal. Jangan menggunakan terlalu banyak isyarat dengan tangan, atau menoleh-noleh ke belakang. Apabila kemarahan kita telah reda, barulah bercakap.

Sekali-kali jangan sampai kita menganggap harta kekayaan kita itu lebih mulia daripada harga diri kita.

Apabila kita memasuki sesuatu majlis, maka peliharalah adab majlis itu. Mulakan dengan memberi salam kepada orang ramai. Jangan melangkah-langkah tempat duduk orang lain yang telah datang terlebih dulu, malah duduk sahaja dimana terdapat tempat kosong, kerana yang demikian itu menunjukkan tawadhuknya seseorang. Setelah duduk hendaklah kita berjabat tangan dengan orang-orang yang di samping kita. Jauhilah duduk di tempat perjalanan orang.


Awaslah, jangan kita bersenda-gurau dengan orang cendekiawan, ataupun orang kurang akalnya. Si cendekiawan akan rasa kurang senang dengan perilaku kita, yang kurang akalnya akan menentang perbuatan kita. Apabila terlena di dalam sesuatu majlis disebabkan senda-gurau atau kelalaian, maka hendaklah kita berzikir kepada Allah tatkala beredar daripada majlis tersebut





Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Fitri 2014

Buat julung julung kalinya pihak Jawatankuasa Surau As Syakirin Taman Tg Maheran, Jitra Kedah telah mengadakan satu majlis hari raya bersama semua anak kariah taman. Pelbagai menu menarik disediakan seperti kambing bakar yang sebanyak 3 ekor,kebab,laksa,lontong,satey,lemang,ketupat dan banyak lagi telah dihidang untuk tetatu bermula dari jam 4 petang dan berakhir jam 10 malam.Semoga majlis seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang agar hubungan erat lebih terjalin diantara satu sama lain terutama penduduk di Taman Tengku Maheran amnya.

Antara photo-photo menarik yang sempat dirakam :-

Pak Mat bersama Ustaz Hafis Mustafa Lubis
Ketua Genohok dok arah pembahagian tugas..



Sahabat kita En. Mat sedang memberi arahan tugas kepada team bentara..
Hebat...Ustaz Nazri & Abang Man Polis kita...bakal Imam Surau..
Bang Man, Fuzil and the geng dok kalut bakaq kebab..
Ramai sungguh yang mai....

bang Zul kita sedang melayan tetamu jemputan