Jika kita inginkan pergaulan yang baik, maka hendaklah kita
memelihara adab-adab berikut sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ghazali
dalam kitabnya, 'Bimbingan Mu'minin':
Berikan keredhaan kita kepada kawan dan musuh sama belaka.
Tunjukkan kepada mereka sikap yang baik tanpa menyombong diri, dan rendahkanlah
diri kita tanpa menghinakannya. Jadikanlah sikap kita sederhana pada semua
perkara, sebab terlalu meninggi sangat ataupun merendah sangat, kedua-duanya
adalah sifat yang tercela.
Jangan menoleh ke kanan atau ke kiri, ataupun terlalu banyak
menoleh. Jangan berdiri di antar orang ramai. Jika duduk jangan menggelenyar
(duduknya tidak tetap). Jangan selang-selikan jari-jari antara sati dengan yang
lain. Jangan terlalu banyak mengurut janggut atau memain-mainkan cincin di
jari.
Jangan mengorek gigi atau hidung, banyak berludah atau
berhingus, atau selalu menggeliat dan menguap di hadapan muka orang ramai dan
di waktu sedang bersembahyang atau sebagainya.
Apabila duduk biarlah duduk kita tenang saja, dan perbualan
kita itu teratur.
Dengarkanlah perbualan-perbualan atau percakapan-percakapan
yang baik daripada orang yang bercakap kepada kita, tanpa menunjukkan
ketakjuban yang berlebih-lebihan, atau menyuruh orang itu mengulangi
percakapannya. Kalau percakapannya itu mentertawakan, maka tahanlah ketawa kita
sedapat mungkin.
Jangan suka memuji-muji anak buah sendiri, atau syair-syair
yang kita cipta sendiri, atau kerya-karya yang kita hasilkan sindiri, ataupun
segala sesuatu yang mengenai diri kita sendiri.
Jangan meniru cara-cara kaum wanita menperhiaskan dirinya,
dan jangan bersikap rendah, seperti yang biasa dilakukan oleh para hamba
sahaya.
Jangan menggesa orang untuk mendapatkan sesuatu keperluan,
dan jangan mendorong orang supaya melakukan kezaliman atau penginyayaan
terhadap sesama manusia.
Jangan memberitahu isteri atau anak-anak, apatah lagi orang
lain, tentang jumlah wang simpanan kita. Sebab kalau mereka tahu simpanan itu
sedikit, tentulah mereka akan menunjukkan sikap kurang senang. Tetapi kalau
mereka tahu simpanan itu banyak, mereka sentiasa tidak puas dan tidak cukup
dengan pemberian kita.
Jika kita berselisih faham, maka hendaklah kita bertenang,
hindarkan sikap berkeras hati, dan jangan terlalu terburu nafsu. Malah
hendaklah kita fikirkan hujah atau dalil yang boleh diterima oleh akal. Jangan
menggunakan terlalu banyak isyarat dengan tangan, atau menoleh-noleh ke
belakang. Apabila kemarahan kita telah reda, barulah bercakap.
Sekali-kali jangan sampai kita menganggap harta kekayaan
kita itu lebih mulia daripada harga diri kita.
Apabila kita memasuki sesuatu majlis, maka peliharalah adab
majlis itu. Mulakan dengan memberi salam kepada orang ramai. Jangan melangkah-langkah
tempat duduk orang lain yang telah datang terlebih dulu, malah duduk sahaja
dimana terdapat tempat kosong, kerana yang demikian itu menunjukkan tawadhuknya
seseorang. Setelah duduk hendaklah kita berjabat tangan dengan orang-orang yang
di samping kita. Jauhilah duduk di tempat perjalanan orang.
Awaslah, jangan kita bersenda-gurau dengan orang
cendekiawan, ataupun orang kurang akalnya. Si cendekiawan akan rasa kurang
senang dengan perilaku kita, yang kurang akalnya akan menentang perbuatan kita.
Apabila terlena di dalam sesuatu majlis disebabkan senda-gurau atau kelalaian,
maka hendaklah kita berzikir kepada Allah tatkala beredar daripada majlis
tersebut
Tazkirah yg amat bermanfaat. Trima kasih.
ReplyDeleteInsya Allah..blog kita ini akan dimuatkan lagi pengkongsian ilmu dari masa ke semasa..
ReplyDelete